Ahad, 29 April 2018 | 12:16pm

BEKAS kapten Kelantan, Badhri
Radzi menganggap tindakan dilakukan KAFA ke atas dirinya sebagai satu
penganiayaan. - Foto Syamsi Suhaimi
Piya rela makan 'gaji buta'
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas kapten
Kelantan, Badhri Radzi rela makan 'gaji buta' sehingga kontraknya tamat pada
penghujung November ini jika tidak ada pasukan yang berminat ke atas dirinya
pada perpindahan kedua bulan depan.
Badhri atau Piya masih menganggap
dirinya sebagai anggota skuad Liga Super Kelantan dan akan tetap bersama
pasukan itu sekalipun namanya sudah dipadamkan oleh jurulatih Fajer Ebrahim
daripada senarai pemain musim ini.
Malah, pemain berusia 36 tahun
akan terus menjalani latihan bersama The Red Warriors seperti biasa selagi
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak menggugurkannya secara rasmi.
Menurut Piya, walaupun sudah
dimaklumkan oleh Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan mengenai kedudukannya
dalam pasukan itu namun sehingga kini badan bola sepak itu tidak mengeluarkan
sebarang surat hitam putih mengenai pengguguran dirinya.
"Saya sudah bertemu Presiden
pada Rabu lalu untuk mengetahui kedudukan sebenar selepas hanya mengetahui
berita pengguguran saya melalui kenyataan beliau kepada media.
"Beliau mengesahkan saya
telah digugurkan oleh jurulatih daripada senarai pemain musim ini dan meminta
saya mencari pasukan lain pada perpindahan kedua bulan depan.
"Saya akur dengan keputusan
KAFA itu dan akan berusaha mencari pasukan baharu. Tapi selagi belum mendapat
pasukan untuk diwakili, saya masih pemain Kelantan kerana kontrak saya berbaki
sehingga akhir November ini.
"Saya sudah menghubungi
beberapa pasukan tapi belum mendapat sebarang maklum balas positif. Dalam
situasi semua pasukan sudah lengkap, memang agak sukar untuk saya mendapatkan
tawaran.
"Kalau tidak dapat pasukan,
saya akan tunggu sehingga kontrak saya tamat kecuali KAFA mahu menamatkan
perjanjian itu serta membayar tuntutan gaji yang berbaki sehingga November.
"Selagi terikat dengan
kontrak, saya akan terus turun menjalani latihan seperti biasa bersama pasukan
walaupun saya sudah tidak ada dalam perancangan jurulatih," tegas Piya.
Pemain yang sudah melakukan lebih
200 penampilan bersama The Red Warriors sejak menyarung jersi pasukan itu pada
2008 menganggap tindakan dilakukan KAFA ke atas dirinya sebagai satu
penganiayaan.
"Saya menolak tawaran
beberapa pasukan lain pada awal musim kerana Presiden mahu saya kekal untuk
membimbing pemain muda. Tapi, sekarang saya diperlakukan pula seperti bola yang
ditendang sesuka hati.
"Kalau saya tahu jadi
begini, sudah lama saya angkat kaki. Atas sebab itu saya tidak mahu bertolak
ansur lagi dengan mereka kali ini.
"Saya rela menjadi
penganggur dan makan gaji buta sehingga November jika tidak ada pasukan yang
berminat ke atas saya," kata Piya.
SUMBER=BERITA HARIAN OMLINE Ahad,
29 April 2018 | 12:16pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan