RIFQIE RUZAIEN | 10 Apr 2019

Kafa mengarahkan Mohd Badhri
kembali menjalani latihan selepas permohonannya menarik diri daripada pasukan
itu belum diputuskan lagi, setakat ini.
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan
(Kafa) mengarahkan pemain tengahnya, Mohd Badhri Radzi segera kembali menyertai
latihan bersama skuad The Red Warriors (TRW).
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias
Khan berkata, tonggak veteran yang dikenali Piya itu masih sah berstatus pemain
Kelantan memandangkan pihaknya belum membuat keputusan terhadap pemohonannya
keluar daripada pasukan itu.
“Piya (Mohd Badhri) mesti berada
di padang latihan kerana Kafa masih belum membuat apa-apa keputusan terhadap
permohonan penarikan dirinya.
“Jadi Piya mesti kembali bersama
pasukan. Bila dia belum terima jawapan daripada Kafa, dia kena hadir menjalani
latihan,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Pada 8 April lalu, perancang
tengah berusia 37 tahun itu membuat kejutan apabila menghantar surat menarik
diri daripada TRW selepas Kafa berhasrat mahu menyemak semula kontrak mana-mana
pemain yang dibawa masuk oleh MyInspiration Sdn Bhd.
Tindakan tersebut dibuat susulan
pembatalan perjanjian kerjasama antara pemegang saham terbesar dalam Kelantan
Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, MyInspiration Sdn Bhd dengan Kafa dalam menguruskan
skuad Liga Premier Kelantan, baru-baru ini.
Mohd Badhri antara pemain selain
bekas penyerang import Uruguay, Raul Tarragona dan ketua jurulatih, Marko
Kraljevic yang dibawa masuk oleh MyInspiration Sdn Bhd selepas termeterai
perjanjian antara KRW Sdn Bhd dan Kafa, 24 Januari lalu.
Tegas beliau lagi, Kafa mempunyai
asas yang kukuh mengarahkan Mohd Badhri kembali ke pangkuan pasukan walaupun
sebelum ini dia mengikat perjanjian dengan KRW Sdn Bhd, selaku entiti swasta
yang menguruskan pasukan bola sepak negeri itu.
"Kalau dahulu semua
berdasarkan kontrak Kafa yang kena patuh, jadi (sekarang) rasanya baik (Mohd
Badhri) ikut kontrak dahulu," katanya.
Sementara itu, Mohd Badhri dalam
reaksi balasnya memberitahu, dia tidak ada masalah untuk turun berlatih namun
Kafa mestilah menepati janji dengan membayar gaji seperti termaktub dalam
kontrak.
“Dalam kontrak, gaji perlu
dibayar setiap 7 haribulan tapi setakat ini belum masuk lagi. Saya harap Kafa
jangan buat-buat lupalah,” katanya ringkas.
SINAR HARIAN ONLINE 10 Apr 2019
Tiada ulasan:
Catat Ulasan