MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

HARAPAN pemain berpengalaman,
Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya untuk mendapatkan tunggakan bayaran gaji yang
berjumlah hampir RM300,000 sebelum ini mungkin kelam apabila perjanjian kontrak
yang ditandatangani bersama Kelantan Red Warriors (KRW) sebenarnya mempunyai terma
yang mengakibatkan dia bakal menjadi mangsa keadaan.
Mengikut perjanjian yang
ditandatangani bersama KRW, gaji serta tunggakan terhadap bekas pemain
kebangsaan itu akan dibayar syarikat berkenaan dengan jaminan My Inspiration
Sdn Bhd.
Namun, tindakan My Inspiration
Sdn Bhd membatalkan serta-merta perjanjian menguruskan pasukan Kelantan yang
dimeterai dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini menyaksikan
harapan pemain terbabit untuk menikmati tunggakan gajinya musnah begitu saja.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias
Khan (gambar) berkata, pihaknya hanya mempunyai 30 peratus pegangan dalam KRW
dan selebihnya dimiliki oleh My Inspiration Sdn Bhd.
“Jika mengikut perjanjian yang
ditandatangani Piya, KAFA mungkin hanya membayar 30 peratus daripada jumlah
tunggakan mengikut terma dalam kontrak terbabit jika diminta berbuat demikian.
“Perkara terbabit sudah
dipersetujui sebelum ini bersama pemain dan KRW serta pihak yang
bertanggungjawab membawa kembali Piya ke Kelantan,” katanya ketika dihubungi
Arena Metro, semalam.
Sebelum ini, bola sepak Kelantan
bergolak apabila My Inspiration Sdn Bhd membatalkan serta-merta perjanjian
menguruskan pasukan walaupun ia sudah dimeterai menerusi perjanjian dengan
KAFA.
Ahmad Fazli Mohammad selaku
pemegang saham terbesar dalam KRW menganggap keputusan itu dibuat selepas
pihaknya hilang kepercayaan dan rasa sabar terhadap KAFA yang didakwa tidak
menghormati kontrak.
Berikutan pembatalan perjanjian
itu, beliau melalui peguamnya akan menyerahkan semula KRW kepada Presiden KAFA.
Selain itu, Bibi Ramjani berkata,
beliau akan berjumpa dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk
membincangkan perkara terbabit bagi mencari jalan penyelesaian.
“KAFA bukan lepas tangan cuma
mahu melihat kembali terma yang sudah ditandatangani pemain berkenaan bersama
KRW sebelum ini kerana jelas sekali Piya bersetuju tunggakan gajinya dibayar
oleh syarikat terbabit.
“Sebab itu, saya menasihatinya
supaya memikirkan kembali keputusan menarik diri baru-baru ini kerana mungkin
merugikannya,” katanya.
Sementara itu, Piya ketika
dihubungi memaklumkan tunggakan sebelum ini perlu dibayar oleh KAFA dan bukan
KRW kerana perkara terbabit berlaku ketika syarikat terbabit tidak wujud lagi.
“Saya akan meminta pandangan
Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk mendapatkan
nasihat kerana tidak dimaklumkan oleh KAFA mengenai isu ini,” katanya.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 14 April 2019 @ 7:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan