Masih tunggu pembayaran gaji
Piya
MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
02 Februari 2019 8:52 PM
KANGAR 2 Feb. - Selepas Safee Sali, kini tiba giliran Mohd. Badhri Radzi
atau Piya pula bersuara dalam isu pembayaran gaji yang sehingga kini masih
belum dilunaskan oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).
Malah kata Piya, terdapat dalam kalangan pemain yang turun menjalani
latihan lebih awal daripadanya juga menghadapi masalah sama apabila sehingga
kini masih belum mendapat gaji selepas lebih dua bulan.
Bagaimanapun, Piya tidak mahu menjadikan isu tersebut sebagai penghalang
untuk dia memberikan persembahan terbaik bersama rakan-rakan dalam perlawanan
pertama Liga Perdana menentang UKM FC esok.
"Kita tolak tepi dulu (soal) gaji untuk fokus perlawanan esok dengan
beri yang terbaik dan pihak pengurusan juga diharap melakukan yang terbaik buat
pemain," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Ketika Perlis akan memulakan saingan Liga Perdana menentang UKM FC esok,
kemelut yang berlaku itu ternyata mengecewakan ramai pihak khususnya para
penyokong yang begitu berharap pasukan dari Utara tanah air itu akan bergerak
dengan baik pada musim ini.
Difahamkan sudah dua bulan gaji para pemain skuad Liga Perdana Perlis itu
‘sangkut’.
Dikhabarkan pihak pengurusan sudah beberapa kali menangguhkan pembayaran
dengan janji terbaharu bakal dilunaskan esok.
Sebelum ini, Safee mendedahkan beliau ada menghubungi Persatuan Pemain
Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kerana belum menerima gaji pertamanya
sejak menyertai pasukan itu.
Terdahulu, PFA gagal menunaikan janji untuk melunaskan tunggakan gaji 18
orang pemain Perlis Northern Lion 2 sehingga menyebabkan dalam kalangan mereka
terpaksa mencari rezeki dengan menjadi nelayan, buruh dan berniaga.
Bagaimanapun dalam pertemuan antara kedua-dua pihak pada 25 Januari lalu,
PFA memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain berkenaan
selewat-lewatnya pada 7 Mac depan menerusi peruntukan daripada geran Liga Bola
Sepak Malaysia (MFL).- UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selepas-safee-giliran-piya-pula-bersuara-1.834431#ixzz5eQdjDXDu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan