ARKIB : 06/05/2011
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my
Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzhi (kiri)
dan rakan sepasukan mendengar arahan ketua jurulatih Datuk M. Karathu (kanan)
pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu semalam.
KOTA BHARU - Aksi yo-yo kapten The Red Warriors,
Mohd. Badri Radzhi dalam beberapa perlawanan sebelum ini, menimbulkan reaksi
kurang senang di kalangan peminat pasukan itu.
Ekoran keluhan peminat The Red Warriors, Mohd.
Badri atau Piya akhirnya tampil dengan aksi bertenaga, dengan meledak dua
jaringan penting ketika bertemu Kuala Lumpur dan Johor FC, yang membantu
Kelantan kembali meneraju Liga Super.
Bertindak selaku 'arkitek' pasukan, dia berdepan
tuntutan cukup berat untuk memastikan Kelantan meneruskan momentum kemenangan
apabila melayan kunjungan Skuad Kenari dalam perhitungan Liga Super di Stadium
Sultan Muhammed IV, hari ini.
Menyedari tekanan tinggi yang digalas, anak jati
kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu melaungkan keyakinan untuk terus
mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan gerakan yang dihasilkan dapat
disudahkan dengan sempurna oleh barisan penggempur berbisa Kelantan seperti
Norshahrul Idlan Tahala, S. Chanturu, Muhammad Razmul Zahini Adenan, Nizab Ayub
mahupun Muhammad Khalid Jamlus.
Kebijaksanaan serta ketenangan Piya mengemudi
jentera tengah, amat dituntut untuk merencanakan gerakan serta membuka peluang
kepada jentera serangan.
"Menumbangkan Kedah bukan satu tugas yang
mudah. Biarpun beraksi di tempat sendiri, mereka liat untuk ditumbangkan.
"Lihat sahaja perlawanan pusingan pertama
lalu, kami hanya mencatatkan keputusan seri meskipun mempunyai banyak peluang
gol namun gagal di manfaatkan.
"Perlawanan malam esok (ini) cukup penting
buat Kelantan dalam usaha terus menjarakkan kedudukan dengan Selangor dan
Terengganu.
"Tiga mata harus diraih. Jadi untuk
perhitungan kali saya dan rakan-rakan sudah bersedia sepenuhnya," katanya
ketika temui di sini semalam.
Tambahnya, tumpuan dan komitmen lebih seratus
peratus perlu diberikan sepanjang perlawanan jika Kelantan mahu terus kekal
sebagai peneraju liga.
"Perlawanan sepanjang bulan lalu dan bulan ini
akan menjadi penentu siapa yang akan menjuarai liga musim ini,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5eA0sJZfc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan