Simpan Artikel
MyMetroArena

Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my
PERSATUAN Bolasepak Kelantan
(KAFA) enggan terburu-buru membuat keputusan mendapatkan kembali khidmat bekas
pemain tengah, Badhri Radzi atau Piya.
Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias
Khan berkata, beliau menasihati mana-mana pihak yang berminat mendapatkan khidmat
pemain itu supaya berurusan dengan majikannya Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).
“Kami kena hormati kontrak Piya
dengan majikannya dan jangan mengambil kesempatan ke atas persatuan bola sepak
negeri yang sedang mengalami masalah dalaman.
“KAFA juga harus meneliti terma
dan syarat kontrak pemain sama ada Piya boleh dilepaskan dengan persetujuan
bersama majikannya (PFA),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut mengenai hasrat
anak syarikat KAFA, Kelantan Red Warriors Sdn Bhd (KRW) ingin mendapatkan
kembali khidmat Piya, Bibi mengakui ada menghubungi Presiden PFA, Datuk Ahmad
Amizal Shaifit Ahmad Rafie untuk berbincang mengenai perkara itu.
“Beliau (Ahmad Amizal)
mengesahkan kontrak Piya tidak dinyatakan secara rasmi jika tidak mendapat bayaran
gaji dua bulan dia boleh bermain dengan pasukan lain sesuka hati.
“Malah KRW perlu menimbang
beberapa perkara sebelum menyatakan hasrat mendapatkan khidmat Piya supaya
pisang tidak berbuah dua kali.
“Piya juga pernah menyatakan dia
tawar hati untuk bermain dengan Kelantan dan KAFA sebelum ini pernah
memanggilnya (Piya) untuk berbincang mengenai masa depannya bersama pasukan
ini,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Rabu, 20 Februari 2019 @ 12:44 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan