Isnin, 4 Februari 2019

Pengalaman pertama Wan Zack, Piya

 ARKIB : 20/07/2011
Pemain skuad Pilihan Malaysia giat menjalani latihan di padang MSN, Bukit Jalil, semalam sebagai persediaan menentang Chelsea, esok. - UTUSAN/AHAMD ZAKKI JILAN
KUALA LUMPUR - Kedua-dua pemain ini ternyata berbeza dari segi pengalaman mahupun umur, namun Wan Zack Haikal Wan Nor dan Bahdri Radzi bakal berdepan satu lagi peristiwa yang belum pernah mereka lalui, iaitu menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, esok.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi kepada kedua-dua pemain Pantai Timur ini jika diturunkan oleh jurulatih pasukan Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee dalam perlawanan persahabatan sempena Siri Jelalah Asia kelab London itu.

Bagi pemain kelahiran Pahang, Wan Zack, semuanya berjalan lancar dan dia sudah bersedia seratus peratus untuk berdepan dengan pemain bertaraf dunia walaupun pada usia yang amat muda, iaitu 20 tahun dan masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Saya mengikuti segala arahan jurulatih terutama sekali dari segi taktikal sebagai persediaan penting untuk bertemu dengan pemain Chelsea yang rata-ratanya mempunyai fizikal lebih besar daripada saya," kata pemain Harimau Muda A itu yang ketika ini mewakili skuad Olimpik negara.

Jelas Wan Zack, bukan mudah untuk menentang Chelsea, tambahan pula kesemua pemain skuad itu mempunyai pengalaman dalam saingan EPL mahupun perlawanan antarabangsa mewakili skuad negara masing-masing.

"Saya tetap berasa gugup tetapi saya berjanji akan memberi komitmen seratus peratus dan saya berazam untuk menjaringkan gol, walaupun saya sedar ia bukan satu misi mudah. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mencapai cita-cita tersebut," kata pemain sayap kanan itu.

Sementara itu, Badhri atau terkenal dengan panggilan Piya, dia berasa bangga selepas disenaraikan dalam skuad Pilihan Malaysia walaupun ia bukanlah skuad kebangsaan sebenar.

Ini kerana ia adalah pengalaman pertamanya menyarung jersi kebangsaan sejak dia mula bermain bola sepak pada usia remaja.

"Saya akan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. Ini adalah pentas terbaik untuk saya belajar dan membuktikan bahawa saya layak diserapkan dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal," kata ketua pasukan Kelantan itu.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, walaupun diberi peluang singkat untuk berlatih bersama pemain senior yang lain serta bersama pemain muda, dia akan memberikan persembahan terbaik terutama sekali untuk merencanakan serangan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eZkGK1wY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 2 Februari 2019

Selepas Safee, giliran Piya pula bersuara


Masih tunggu pembayaran gaji
  Piya
  Piya
MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

02 Februari 2019 8:52 PM
KANGAR 2 Feb. - Selepas Safee Sali, kini tiba giliran Mohd. Badhri Radzi atau Piya pula bersuara dalam isu pembayaran gaji yang sehingga kini masih belum dilunaskan oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Malah kata Piya, terdapat dalam kalangan pemain yang turun menjalani latihan lebih awal daripadanya juga menghadapi masalah sama apabila sehingga kini masih belum mendapat gaji selepas lebih dua bulan.


Bagaimanapun, Piya tidak mahu menjadikan isu tersebut sebagai penghalang untuk dia memberikan persembahan terbaik bersama rakan-rakan dalam perlawanan pertama Liga Perdana menentang UKM FC esok.

"Kita tolak tepi dulu (soal) gaji untuk fokus perlawanan esok dengan beri yang terbaik dan pihak pengurusan juga diharap melakukan yang terbaik buat pemain," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Ketika Perlis akan memulakan saingan Liga Perdana menentang UKM FC esok, kemelut yang berlaku itu ternyata mengecewakan ramai pihak khususnya para penyokong yang begitu berharap pasukan dari Utara tanah air itu akan bergerak dengan baik pada musim ini.

Difahamkan sudah dua bulan gaji para pemain skuad Liga Perdana Perlis itu ‘sangkut’.

Dikhabarkan pihak pengurusan sudah beberapa kali menangguhkan pembayaran dengan janji terbaharu bakal dilunaskan esok.

Sebelum ini, Safee mendedahkan beliau ada menghubungi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) kerana belum menerima gaji pertamanya sejak menyertai pasukan itu.

Terdahulu, PFA gagal menunaikan janji untuk melunaskan tunggakan gaji 18 orang pemain Perlis Northern Lion 2 sehingga menyebabkan dalam kalangan mereka terpaksa mencari rezeki dengan menjadi nelayan, buruh dan berniaga.

Bagaimanapun dalam pertemuan antara kedua-dua pihak pada 25 Januari lalu, PFA memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain berkenaan selewat-lewatnya pada 7 Mac depan menerusi peruntukan daripada geran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).- UTUSAN ONLINE



SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selepas-safee-giliran-piya-pula-bersuara-1.834431#ixzz5eQdjDXDu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Piala FA milik siapa?

ARKIB : 11/06/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
MILIK siapa... Badhri Radzi (kanan) dan Mazuki Yusof bersama trofi Piala FA yang menjadi rebutan, malam ini.

KUALA LUMPUR – Ketika Kelantan berkeras bahawa kemenangan 3-0 dalam saingan Liga Super, Isnin lalu bukan sekadar nasib, Terengganu pula menegaskan, perlawanan akhir Piala FA malam ini adalah cerita baru dan kekalahan enam hari lalu sama sekali tidak akan berulang.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof menegaskan, keputusan di Kuala Terengganu itu tidak boleh diambil kira apabila pasukannya melayani skuad Kijang sekali lagi, kali ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Malah tegasnya lagi, skuad Penyu telah memperbaiki segala kelemahan yang membawa kepada kekalahan tempoh hari, malah beliau percaya, situasi Piala FA dan Liga Super jauh berbeza.

Namun bagi ketua pasukan Kelantan, Badhri Radzi, kemenangan Isnin lalu bukan kerana nasib, disebabkan lawan tidak dapat menurunkan tonggak utama, sebaliknya mereka terbukti pasukan yang lebih baik.

Pertembungan akhir klasik antara dua negeri berjiran itu amat dinantikan penyokong fanatik mereka kerana ini merupakan kali pertama Kelantan dan Terengganu bertemu dalam mana-mana perlawanan akhir.

“Saya tidak menganggap kemenangan ke atas Terengganu sebelum ini sekadar nasib kerana mereka tidak dapat menurunkan Ashaari (Shamsuddin). Kami akan membuktikan Kelantan adalah yang terbaik pada perlawanan akhir .

“Saya berpesan kepada rakan-rakan agar mengekang asakan rangkaian serangan Terengganu, terutama dengan kepulangan semula Ashaari,” kata Badhri.

Menurut Badhri, yang turut dikenali sebagai Piya, dia mahu membantu pasukannya menjulang piala yang diperkenalkan pada 1990 buat pertama kali sekali gus memadam kekecewaan final 2009 tewas kepada Selangor.

Sementara Marzuki pula optimis Terengganu mampu membawa kejuaraan, meskipun sedar pasukannya tidak memiliki kelebihan psikologi ekoran kekalahan buruk, Isnin lalu.

“Kami banyak buat kesilapan pada perlawanan itu tetapi esok (hari ini) kami tidak boleh mengulanginya dan harus memperbaiki segala kelemahan.

“Ini adalah penampilan kedua saya dalam final Piala FA, kali pertama ketika bertemu Perak pada 2004 tetapi ketika itu kami tewas 0-3, saya tidak mahu sejarah berulang lagi,” katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eML4MHYM
© Utusan Melayu (M) Bhd