Mohamad
Zulhairie Manzaidi
sukan@hmetro.com.my
"TANGGUNGJAWAB
saya bayar tunggakan gaji sudah dilunaskan, kini pemain perlu tunaikan
tanggungjawab anda pula," kata Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan
(KAFA), Bibi Ramjani Illias Khan.
Beliau sebelum
itu menyerahkan gaji pemain Kelantan (Liga Super) termasuk import yang
tertunggak bagi Julai dan Ogos di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, hari
ini.
Jumlah sebenar
tunggakan tidak didedahkan.
Bibi Ramjani
berkata, beliau mahu pemain membuktikan kemampuan mereka dengan meraih kemenangan
dalam perlawanan menentang PKNS FC, Rabu ini.
"Hari
ini, saya sudah serahkan bayaran gaji kepada pemain tempatan dan import bagi
Julai dan Ogos. Maka tak ada lagi tunggakan gaji.
"Jumlahnya,
saya terpaksa rahsiakan tetapi gaji tertunggak Julai hanya membabitkan beberapa
pemain sahaja.
"Rabu
nanti saya berharap pemain dapat menunaikan tanggungjawab mereka dan pastikan
Kelantan menang menentang PKNS FC di Kota Bharu," katanya.
Mengulas
mengenai kenyataan dibuat bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa mengenai
pertukaran nama TRW, Bibi Ramjani berkata, perkara itu bukan keutamaannya buat
masa ini.
Katanya, misi
utama sebagai Presiden baru dilantik pada 17 September lalu adalah untuk
pastikan Kelantan terus bersaing dalam saingan Liga Super 2018.
"Jadi,
perkara itu (tukar nama) akan difikir kemudian. Buat masa ini, kita perlu
bersama berikan sokongan kepada pemain.
"Saya
harap penyokong dapat hadir ke stadium Rabu ini dan berikan sokongan padu
kepada pasukan," katanya.
Skuad
kendalian Zahasmi Ismail akan berdepan PKNS FC dan Melaka United dalam saingan
terakhir Liga Super.
Kelantan perlu
mencatat dua kemenangan bagi melayakkan mereka kekal dalam saingan Liga Super
musim hadapan.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 7:44 PM