SUKAN»Bola
Khamis, 30 Januari 2020 | 1:00pm

BEKAS kapten Kelantan, Mohd
Badhri Radzi.
Piya nafi bersara
Oleh Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas kapten
Kelantan, Mohd Badhri Radzi menafikan spekulasi tersebar luas di media bahawa
dia akan bersara dari arena bola sepak.
Mengakui masih belum menandatangani
kontrak bersama Kelantan United, Mohd Badhri atau Piya berkata keinginannya
untuk meneruskan kerjaya sebagai pemain masih tinggi.
Justeru, pemain berusia 37 tahun
itu menganggap berita yang tersebar itu hanya sebagai spekulasi biasa cuba
dicetuskan pihak tertentu.
"Saya masih ada kudrat untuk
bermain dan saya juga masih mahu bermain. Berita itu (spekulasi bersara) tidak
benar sama sekali.
"Memang saya masih belum
menandatangani kontrak bersama Kelantan United, tapi Insya-Allah dalam masa
terdekat saya akan berjumpa jurulatih dan pengurusan pasukan," katanya
kepada BH Sukan, semalam.
Nama Piya tidak asing lagi dalam
kancah Liga Malaysia (Liga M) selepas dia berjaya mencipta beberapa kejayaan
bersama Kelantan termasuk dua kali juara Liga Super, dua kali Piala FA dan dua
kali Piala Malaysia.
Piya menyertai Kelantan United
pada musim lalu yang menyaksikan kelab dari Pantai Timur itu berjaya melayakkan
diri ke Liga Perdana musim ini selepas muncul juara Liga M3.[1]