
Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.m
KOTA BHARU - Perancang tengah
Kelantan Mohd. Badhri Radzi berharap ketiadaan namanya dalam skuad Harimau
Malaya pada aksi persahabatan bertemu China di Tianjin, 10 September ini tidak
dijadikan sebagai isu.
"Saya fikir ketiadaan nama
dalam skuad kebangsaan tidak perlu dijadikan isu, malah Piya menerima keputusan
ini dengan hati terbuka," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, meskipun kecewa
namanya tidak tersenarai namun dia menganggap itu bukan rezekinya untuk beraksi
bersama skuad negara kali ini.
"Mungkin jurulatih mempunyai
perancangan yang lebih baik untuk pasukan tanpa menyenaraikan saya. Saya yakin
dan percaya rakan-rakan yang dipilih mampu menggalas tugas dengan baik pada
pertemuan tersebut," ujarnya.
Akhbar tempatan kelmarin melaporkan,
perancang tengah Kelantan itu tidak disenaraikan oleh jurulatih Datuk K.
Rajagobal pada aksi persahabatan antarabangsa menentang China Selasa depan.
Piya sebelum ini pernah dipanggil
untuk menyarung jersi Kebangsaan, namun terpaksa melupakan hasrat tersebut
selepas mengalami kecederaan pangkal paha.
Kapten Kelantan berusia 31 tahun
itu, bagaimana enggan memikirkan perkara tersebut sebaliknya mahu fokus
membantu The Red Warriors dalam aksi Piala Malaysia musim ini.
Katanya, baki dua perlawanan yang
bakal diharungi The Red Warriors selepas ini akan menentukan nasib pasukannya
dalam saingan musim ini.
"Saya menjadikan perkara ini
sebagai motivasi untuk bekerja dengan lebih keras seterusnya mendapatkan semula
kepercayaan ketua jurulatih kebangsaan untuk memanggil saya bagi menyarung
jersi negara.
"Harapan saya agar peluang
tersebut akan tiba lagi selepas ini. Sebagai pemain, mereka pasti mempunyai
impian untuk menyarung jersi Kebangsaan, begitu juga saya," jelasnya.
Rujukan:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130903/su_04/Memang-saya-kecewa-tapi-jangan-jadikan-ia-isu#ixzz2duADU9YI©
Utusan Melayu (M) Bhd