Yatimin Abdullah
25 April 2018 3:00 AM
PIYA (kanan) dan Apek dinamakan
sebagai pemain yang tiada dalam perancangan KAFA menerusi Facebook baru-baru
ini.
TINDAKAN Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) yang mengeluarkan kenyataan Mohd. Badhri Radzi atau Piya dan
Khairul Fahmi Che Mat (Apek) sudah tidak ada dalam perancangan pasukan sebelum
jendela perpindahan pemain pada Mei ini seolah-olah telah ‘menjatuhkan harga’
legenda The Red Warriors (TRW) itu.
Presiden Persatuan Bekas Pemain
Bola Sepak Kelantan (PBPBSK), Salim Mahmood berkata, KAFA tidak sepatutnya
berbuat demikian memandangkan kedua-dua pemain itu merupakan nama besar dalam
arena bola sepak tempatan dan telah memberikan sumbangan cukup besar buat TRW
sebelum ini.
“Apabila KAFA menyebut melepaskan
Piya dan Apek adalah bertujuan menjimatkan kos, saya masih beranggapan ia
wajar.
“Tetapi bukan sekarang, mustahil
bagi KAFA untuk bertindak tanpa perancangan. Jika disebut perancangan untuk
jangka masa tertentu, sudah semestinya ada ketelitian dalam hal ini, namun saya
lihat perkara tersebut tidak ada,” katanya.
Salim berkata, beliau bersetuju
jika ungkapan ‘biar jasa jadi kenangan’ tetapi bukan dengan cara atau kaedah
yang KAFA lakukan ketika ini.
Katanya, sebagai bekas pemain,
beliau begitu memahami perasaan yang sedang dihadapi oleh kedua-dua tonggak TRW
itu ketika ini.
“Setiap pemain bola sepak tahu
bila masa berundur atau khidmat mereka sudah tidak diperlukan,” ujarnya.
Salim berkata, KAFA sepatutnya
memberikan penghargaan kepada Piya dan Apek dengan menyediakan pelan jangka
panjang iaitu dengan menghantar mereka dan pemain-pemain lain mengikuti kursus
kejurulatihan.
“Bukan itu sahaja, KAFA boleh
melantik mereka sebagai duta atau ikon bola sepak negeri Kelantan.
“Mewujudkan kembali akademi bola
sepak supaya mereka dapat mencurahkan segala ilmu kepada generasi baharu
nanti,” ujarnya.
Salim berkata, kedua-dua pemain
itu mampu menjadi motivasi kepada generasi baharu untuk tampil lebih berjaya
pada tahun mendatang.
Sumber-KOSMO ONLINE 25 April 2018
3:00 AM