Isnin, 19 Mac 2018

Badri galas tanggungjawab besar Red Warriors


ARKIB : 24/04/2009
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
sukan@utusan.com.my
 
BADRI Radzi (dua dari kanan) menjadi harapan untuk menyekat jentera serangan Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan akhir Piala FA, esok. - UTUSAN/ HAFIZ JOHARI

KOTA BHARU - Di bawah bimbingan Peter Butler musim ini, Badri Radzi seperti beberapa pemain Kelantan lain mulai menyinar dan diberi tanggungjawab besar menerajui skuad dengan lilitan kapten pada lengannya.

Lebih dikenali sebagai Piya, Badri yang bertindak sebagai perancang bagi skuad Kijang kini berdepan dengan tuntutan cukup berat, Sabtu ini; memastikan skuad Kelantan pulang membawa Piala FA.

Badri sedar dia perlu menyerap tekanan lebih berbanding rakan-rakan lain bagi memastikan gerakan berasaskan strategi untuk disudahkan oleh barisan penyerang Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Norfarhan Mohd., Che Hishamuddin Hassan dan Khalid Jamlus.

Kebijaksanaannya kali ini amat dituntut merencanakan gerakan serta membuka peluang kepada jentera penggempur Kelantan itu.

Pembantu jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha pernah memberitahu bahawa, Piya merupakan antara kekuatan Kelantan kerana selalunya jika dia beraksi baik maka, keputusan juga lebih memihak.

Ketenangan serta kreativiti amat ditagih oleh jurulatih, Peter Butler dan puluhan ribu penyokong setia sang Kijang dalam misi memburu Piala FA, merintis sejarah dengan peluang pertama terbuka untuknya.

Menumbangkan Selangor bukan suatu yang mudah tetapi menurutnya, ia juga bukan suatu yang mustahil kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

"Kami semua sudah bersiap sedia. Ini adalah pengalaman pertama saya dan rakan-rakan yang kecuali Khalid (Jamlus) dan Indra (Putra Mahyuddin) yang pernah beraksi sebelum ini.

"Perasaan kami juga agak bercampur baur, berdebar, bimbang dan teruja kerana akan beraksi depan puluhan ribu peminat selain cabarannya juga berbeza," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambahnya, nasihat jurulatih serta rakan-rakan yang mempunyai pengalaman adalah amat berguna untuk menyerap segala tekanan yang ada.

Jelasnya, pemain-pemain kini sudah siap untuk turun beraksi dan berharap tuah akan memihak kepada pasukan Kelantan yang sememangnya dahagakan kemenangan.

"Jurulatih mahu kami semua 'enjoy' dalam perlawanan esok dan minta kami main seperti biasa. ini peluang kami untuk mencipta kejutan selain mencari pengalaman baru.

"Saya juga akan berusaha untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dan bermain dengan lebih tenang untuk membuka peluang kepada rakan-rakan menjaringkan gol," ujarnya.

Ketika ditanya siapakah pemain Selangor yang perlu diawasi ketika pertembungan Sabtu ini, Badri menyifatkan mereka mempunyai kekuatan yang seimbang dengan Kelantan, cuma perlu mengetatkan kawalan terhadap Amri (Yahyah).

"Kita tidak mempunyai rancangan khusus untuknya namun, dia seorang pemain yang bagus dan dia boleh muncul dimana-mana sahaja untuk menjaringkan gol, jadi kita perlu mengawasinya," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0424&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5AGLgYfD0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 16 Mac 2018

Rantai Mahali dan Faris - Piya

Rantai Mahali dan Faris - Piya
  Piya
Piya
Yatimin Abdullah Utusankelantan@Utusan.Com.My

15 Mac 2018 7:18 PM
KOTA BHARU 15 Mac - Jeneral padang The Red Warriors (TRW) Mohd. Badhri Radzi atau Piya menuntut rakan-rakan sepasukan untuk merantai pergerakan dua pemain PKNS FC Mahali Jasuli dan Muhammad Faris Ramli pada aksi Piala FA 2018 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Piya berkata, kedua-dua pemain itu merupakan ancaman utama kepada TRW setiap kali memegang bola kerana mereka cukup licik dalam membuat hantaran selain menghidu peluang terhidang.

Menurutnya, bukan itu sahaja Daniel Sang Ting dan Jonathan Acosta serta Romel Morales turut mendatangkan masalah sekiranya dibiarkan terlalu kerap memadang bola.

"Kita nak menang, tak kiralah apa cara sekalipun kerana inilah peluang terbaik untuk mengembalikan semula reputasi TR.

"Dengan keadaan semasa pemain bebas daripada kecederaan, saya percaya Kelantan boleh beraksi lebih baik untuk memburu slot ke suku akhir, nanti,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Kapten TRW itu memberitahu, dia mahu barisan serangan tampil dengan aksi lebih bernafsu mencetak jaringan pada perlawanan itu nanti.

Katanya, penyerang utama TRW, Mohammed Ghaddar perlu lebih tajam di depan pintu gol lawan sekiranya tidak mahu tersingkir awal dalam kempen tersebut.

"Ketika kalah tipis 0-1 pada aksi Liga Super kepada PKNS minggu lalu, Kelantan ada banyak peluang menjaringkan gol tetapi disia-siakan rangkaian penyerang kita.

"Jadi, kita tak boleh ulang kesilapan seperti ini dan perlu guna peluang yang terhidang sebaik mungkin jika tak mahu dikecewakan PKNS sekali lagi," ujarnya. - UTUSAN ONLINE-15 Mac 2018 7:18 PM
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/rantai-mahali-dan-faris-piya-1.628271#ixzz59y2rAErR
© Utusan Melayu (M) Bhd